Wednesday 25 November 2009

Kuala Pilah, Malaysia: Jalan baru Bukit Putus dibuka


Pembukaan Jalan baru Bukit Putus ini memberi kemudahan kepada penduduk yang sebelum ini terpaksa berhadapan kesesakan dan halangan pada laluan lama di kawasan berkenaan.

KUALA PILAH 25 Nov. - Jalan baru Bukit Putus sejauh 6.9 kilometer di sini dibuka secara rasmi hari ini sekali gus menyelesaikan masalah kesesakan di laluan lama Seremban-Kuala Pilah sejak 40 tahun lalu.



Pembukaan jalan berharga RM109.5 juta itu yang terkenal dengan nama jolokan 'Laluan Sutera' disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.


Majlis perasmian diadakan di atas jambatan ketiga yang mempunyai ketinggian 48 meter dari aras laut dan kedua tertinggi di negara ini.


Laluan baru itu mempunyai lima jambatan.


Mohamad berkata, pembukaan laluan itu bakal menyaksikan kawasan bahagian timur Negeri Sembilan membangun dengan pesat.


"Ia akan memberi kemudahan kepada penduduk yang sebelum ini berhadapan kesesakan lalu lintas teruk di laluan lama di kawasan berkenaan.


"Ia juga memberi peluang kepada pelabur dan orang ramai berurusan di bahagian timur Negeri Sembilan khususnya di Kuala Pilah, Bahau dan Jempol kerana di kawasan berkenaan masih banyak lagi tanah yang belum dibangunkan,'' katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Infrastruktur, Air, Tenaga dan Telekomunikasi negeri, Datuk Ismail Lasim; Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Hasan Malek; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mat Ali Hassan dan Pengarah Jabatan Kerja Raya negeri, Ir. Dr. Roslan Md. Taha.


Projek tersebut dibangunkan oleh Realis Sdn. Bhd. (Realis) yang merupakan sebuah syarikat di bawah SELIA Group.


Ia merentasi Hutan Simpan Gunung Angsi dan projek ini telah mengambil kira aspek penjagaan alam sekitar sebagai keutamaan.


"Pembinaan jalan ini merupakan pembiayaan yang diperoleh melalui peruntukan khas daripada kerajaan Persekutuan selepas mengambil kira keperluan rakyat di kawasan ini," kata Mohamad.


Katanya, dijangkakan bilangan kenderaan meningkat sebaik sahaja ia dibuka hari ini terutama sekali kenderaan berat memandangkan ia tidak bertol dan kecerunan adalah rendah.


"Saya yakin, pemandu lori dari Pahang akan menggunakan laluan ini untuk meneruskan perjalanan ke destinasi lain," jelasnya.


Dalam pada itu, kerajaan negeri akan meneruskan penyambungan laluan ini pada fasa kedua.


Katanya Mohamad, fasa kedua akan bermula dari kaki Bukit Putus (pusat rekreasi Ulu Bendul) ke Terachi di sini.


"Ketika ini tender sudah pun dibuka untuk memulakan projek. Bagi fasa berikutnya, laluan ini akan dilebarkan bermula dari Terachi hingga ke Hospital Kuala Pilah bertujuan memudahkan urusan orang ramai sehingga ke sempadan Pahang," ujarnya.


Kata Mohamad, beberapa reka bentuk laluan sedang dirancang termasuklah merentasi Tanjung Ipoh, Talang, Langkap, Tengkek ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kuala Pilah tanpa perlu melalui bandar Kuala Pilah dalam mengatasi kesesakan teruk di situ.


Sumber: http://www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment