Wednesday, 13 June 2012

Seremban, Malaysia: Kerajaan kecewa bukit diteroka


SEREMBAN 13 Jun - Kerajaan negeri kesal dan dukacita apabila melihat bukit di jajaran Gunung Angsi, dekat Senawang diteroka sebuah syarikat sejak beberapa bulan lalu sehingga mencacatkan keindahan alam sekitar.


Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tanah seluas 404.685 hektar itu bukan tanah milik kerajaan, tetapi adalah tanah milik syarikat atau koperasi dari Selangor yang dibeli daripada lelongan awam yang dibuat pihak Pengurusan Danaharta Nasional Berhad, beberapa tahun lalu.


"Kawasan itu sebenarnya yang telah diberi milik lama dulu sebelum saya menjadi Menteri Besar lagi dan telah bertukar milik banyak kali sehinggalah akhirnya dibuat lelongan awam oleh Danaharta dan diberikan kepada satu syarikat atau koperasi dari Selangor.


"Kita telah cuba dengan serius beberapa kali untuk tidak membenarkan mereka mengusahakan tanah itu untuk penanaman semula kelapa sawit, tetapi tidak berhasil," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.


Kata Mohamad, apabila tanah itu sudah dibeli, pengusahanya mahu meneroka hutan di jajaran tersebut kerana mahu mengeluarkan hasil kayuan dan pada masa yang sama menanam kelapa sawit.


"Tuduhan mengatakan kerajaan mengeluarkan hasil balak di tanah kerajaan adalah tidak benar kerana itu adalah tanah milik persendirian," tegasnya.


Namun, kata beliau, disebabkan ada usaha mengeluarkan hasil kayu di kawasan persendirian itu maka kerajaan negeri melalui Jabatan Perhutanan negeri mengeluarkan arahan supaya pengusaha ini memohon permit, di mana hasil kayu berkenaan boleh dipantau dan royalti dipulangkan kepada kerajaan negeri.


"Kita sedar, mereka tetap akan menebang pokok kerana tanah itu milik mereka. Jadi daripada mereka melakukan sewenang-wenangnya, mengeluarkan secara senyap, membuat pembakaran terbuka atau melonggokkan kayu di merata tempat, kita terpaksa mengeluarkan permit untuk memantau perkembangan ini," tegasnya.


Mohamad kesal dengan tuduhan kerajaan tidak prihatin isu alam sekitar dan menjelaskan, ia adalah tidak benar.


"Kerajaan tidak pernah membuka kawasan untuk membenarkan hasil kayuan dikeluarkan sesuka hati, tanpa menghiraukan alam sekitar.


"Jika dibuat sekali pun, kita akan mengenakan syarat yang ketat. Begitu juga tanah yang dipohon Kerajaan Persekutuan untuk dibangunkan, di mana kita kenakan syarat tempoh berbuat demikian selama tiga tahun dan jika gagal, ia akan diambil semula," tegasnya.


Dalam kes di kawasan jajaran Gunung Angsi ini, apabila fail dibuka, pihaknya mendapati tiada syarat yang kukuh untuk membolehkan kuat kuasa berkaitannya dibuat, namun, kerajaan meminta Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri memantau perkembangan itu khususnya aspek alam sekitar agar tidak menjejaskan kawasan sekitarnya.


Sumber: www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment