BAGAN SERAI - Seorang lelaki hanya mampu bersembunyi di dalam semak sambil berdoa agar tidak ditemui sekumpulan perompak melakukan samun bersenjata di sebuah rumah di Jalan Jeti, di sini pagi kelmarin.
Mangsa kejadian dikenali sebagai Lee, 42, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.15 pagi itu, dia bersama seorang lagi rakannya sedang berbual-bual di bahagian luar rumah sambil menghisap rokok, manakala beberapa rakan lain berehat di dalam rumah.
Menurutnya, secara tiba-tiba mereka dikejutkan dengan kehadiran sekumpulan lelaki berpakaian serba hitam dan bertopeng menuju ke arahnya.
“Saya terkejut dan cuba masuk ke dalam rumah bagi memberitahu perkara itu kepada rakan lain, bagaimanapun tak sempat kerana kumpulan perompak itu melepaskan beberapa tembakan dan mengenai tangan kanan saya.
“Walaupun sakit, saya terus berlari bersembunyi ke arah semak berhampiran untuk menyelamatkan diri,” katanya sewaktu ditemui media, di sini, semalam.
Lee berkata, dia melarikan diri di kawasan semak berhampiran kerana bimbang ditembak kali kedua namun dua suspek bertindak mengejarnya.
Jelasnya, dia terus berlari tanpa menghiraukan kecederaannya dan menyembunyikan diri di satu lokasi.
“Setelah hampir setengah jam bersembunyi, saya segera menghubungi seorang rakan untuk menghantar saya ke hospital berdekatan kerana kecederaan saya semakin parah,” katanya.
Tambah Lee, semasa dalam perjalanan ke Hospital Parit Buntar, dia sempat menghubungi beberapa rakannya yang lain untuk mengetahui lebih lanjut keadaan mereka.
“Saya terkejut dimaklumkan beberapa rakan dirompak dan dua kereta turut dilarikan, manakala seorang lagi rakan cedera di bahagian paha kanan serta dikejarkan ke Hospital Taiping untuk dirawat.
“Setibanya di Hospital Parit Buntar, petugas di sana mengarahkannya agar terus dihantar ke Hospital Taiping kerana kecederaan parah yang dialami,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.
Katanya, kejadian antara jam 4 hingga 4.30 pagi itu berlaku, ketika sekumpulan lima lelaki sedang bermain judi di sebuah rumah di Bagan Serai, dekat sini.
“Mereka kemudiannya didatangi enam hingga tujuh lelaki bersenjatakan pistol dan bertindak menyamun kumpulan itu yang khusyuk berjudi di rumah berkenaan.
“Dua kereta milik mangsa dilarikan tetapi salah satu daripadanya berjaya ditemui berhampiran lokasi kejadian.
“Selain kereta, beberapa barangan peribadi turut disamun antaranya termasuk telefon bimbit berjenama dan sejumlah wang tunai,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis
Kontinjen (IPK) Perak, semalam.
Mohd Shukri berkata, suspek sempat menembak dua mangsa sehingga menyebabkan mereka mengalami kecederaan di paha dan lengan.
“Seorang mangsa berusia 32 tahun kini mendapat rawatan di Hospital Taiping dan dilaporkan stabil manakala mangsa yang cedera di lengan menyembunyikan diri,” katanya.
Katanya, setakat ini polis masih mengenal pasti motif kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
No comments:
Post a Comment