Friday, 10 May 2013

Kuantan: Perhilitan tunggu masa sesuai tangkap gajah

Sabri menunjukkan anak sawit miliknya yang tidak sempat ditanam telah dimusnahkan gajah liar.

KUANTAN - Jabatan Perhilitan akan terus memantau pergerakan sekumpulan gajah di Kampung Kolek, Sungai Lembing, di sini, sebelum membuat tangkapan dalam masa terdekat.

Pengarah Perhilitan, Khairiah Mohd Shariff berkata, pihaknya kini hanya menunggu masa sesuai untuk menembak kumpulan gajah terbabit menggunakan pelali sebelum dipindahkan ke habitat yang sesuai seperti pusat santuari gajah.

“Dalam masa seminggu ini, pihak kami memantau pergerakan gajah dan jika kawasan sekeliling sesuai, gajah-gajah ini akan ditangkap.

“Hasil siasatan dan penelitian pihak kami terdapat empat hingga lima ekor gajah sahaja di sini dan dakwaan penduduk yang mengatakan ada lebih 10 ekor tidak benar kerana mungkin ia adalah gajah yang sama,” katanya.

Khairiah berkata, selepas gajah itu ditangkap, ia akan dibawa oleh gajah denak ke habitat yang lebih sesuai.

Beliau berharap, penduduk dapat bersabar dan tidak mendekati kawasan yang dipercayai menjadi laluan haiwan itu sementara menunggu tindakan selanjutnya.

Sementara itu, penduduk, Sabri Talib, 45, berkata, tanaman anak sawitnya musnah 'dikerjakan' gajah berkenaan menyebabkan dia mengalami kerugian.

Menurutnya, sudah dua kali kebunnya dicerobohi haiwan itu dan dia terpaksa membeli anak sawit baru untuk ditanam semula.

“Selagi gajah-gajah ini tidak ditangkap, kami sentiasa dibelenggu rasa takut. Bukan sahaja mengancam kebun kami, malah keselamatan kami juga kerana ia sudah mula masuk ke kawasan kampung berhampiran dengan kawasan sekolah.

“Bagi saya, tembakan amaran menghalau gajah-gajah ini tidak relevan kerana mereka tidak mempunyai habitat lagi,” katanya.

Sabri yang juga anggota Rela berkata, kumpulan gajah itu dipercayai datang dari Gunung Tapis, di sini, selepas hilang habitat untuk mencari makanan sehingga menceroboh masuk ke kawasan kampung lalu memusnahkan tanaman penduduk.

Katanya, dia sudah beberapa kali melihat gajah-gajah terbabit di depan mata dan walaupun sudah dihalau, haiwan itu akan datang semula.

Sehubungan itu, dia berharap Perhilitan dapat menyelesaikan ancaman gajah liar itu secepat mungkin.

No comments:

Post a Comment