Saturday, 24 March 2007

Unit Forensik menjejak identiti penjenayah

TIDAK semua orang berani berhadapan dengan mayat, apatah lagi mayat yang sudah reput, terbakar mahupun yang tidak cukup sifatnya.

Tetapi jika ia sudah menjadi rutin serta tanggungjawab, perkara tersebut sudah menjadi satu perkara biasa.
Bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa, berbekalkan semangat, kecekalan dan keberanian, perasaan takut dan ngeri yang menghantui diri, akan hilang ditelan masa.

Sambil menyifatkan pengalaman ‘berdampingan' dengan mayat di bilik mayat sebagai satu pengalaman paling berharga, sebagai pakar forensik beliau memerlukan ketabahan dan kekuatan mental dan fizikal.

Selain itu, pegawai penyiasat perlu turun ke tempat kejadian, untuk memeriksa kedudukan mangsa, di samping menganalisis contoh-contoh bahan bukti dalam melakukan pemeriksaan.

Kepakaran siasatan dalam dunia forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menyiasat barang bukti yang saintifik mampu mengesan melalui kepakaran dan teknologi terkini untuk mengenal pasti identiti penjenayah.

Kini, perkembangan dunia siasatan forensik berkembang sejajar perkembangan sains yang dapat memantapkan aspek penyiasatan dalam menyelesaikan sesuatu kes melalui kesan bukti penjenayah dan seterusnya mendakwa mereka ke muka pengadilan.

Kini penubuhan Unit Siasatan Tempat Jenayah (CSI) ditubuhkan dengan hasrat untuk membantu polis dalam siasatan forensik dan Jabatan Siasatan Jenayah dalam melakukan siasatan dan penyiasatan secara terperinci.

Menurut Juruanalisis Kanan Tempat Kejadian (Makmal Forensik), Deputi Supritendan (DSP) Soo Me Tong berkata, penubuhan unit CSI selaras dengan hasrat Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan untuk menjalankan penyiasatan yang berkualiti dan efektif dalam mendapatkan bahan bukti yang kukuh di tempat kejadian.

Ia menekankan beberapa kes tertentu yang berlaku seperti membabitkan kes bunuh yang mana memerlukan unit ini untuk menyiasat punca kejadian dan kaedah penyiasatan forensik dalam mengenal pasti mangsa atau penjenayah.

“Selain daripada mencari bahan bukti pihak CSI juga berperanan dalam mendokumentasikan dan mengumpulkan bahan-bahan bukti untuk dibawa ke makmal forensik untuk membuat pengecaman terhadap bahan bukti itu.

“Peranan yang dimainkan oleh unit ini secara langsung membantu mengurangkan tugas-tugas pegawai penyiasat atau risikan supaya lebih cepat untuk mengesan penjenayah,” katanya baru-baru ini.

Kaedah penyiasatan forensik kini bertujuan memastikan kehendak masyarakat tercapai khususnya kepada keluarga mangsa-mangsa jenayah yang ingin melihat kejayaan polis untuk menyelesaikan sesuatu kes.

Menurutnya lagi, bidang forensik merupakan cabang kepolisan yang mencabar kerana kebanyakan kejadian jenayah yang berlaku membabitkan cubaan oleh penjenayah-penjenayah untuk melupuskan bahan bukti daripada dikesan.

Perkara ini secara langsung mendorong Polis Diraja Malaysia (PDRM) meningkatkan kemahiran dan kepakaran dalam memastikan bukti itu diperoleh dan tidak mengganggu siasatan.

“Menerusi siasatan dan kepakaran serta kemudahan forensik terkini banyak membantu pihak polis dalam memperoleh maklumat seperti dengan menggunakan kaedah menganalisis ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA), analisis komputer, pemeriksaan cap jari, ujian balistik dan pemeriksaan dokumen.

“Bahan-bahan bukti ini akan digunakan untuk dikaitkan dengan keperluan undang-undang dalam memfailkan dakwaan pada penjenayah,” jelasnya.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0324&sec=Polis_%26_Tentera&pg=te_14.htm#ixzz2WRiLUwGS
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment