Friday, 27 May 2011

Malaysia: Jururawat tiga hospital tabur bakti


SERAMAI 44 orang jururawat Hospital Gleneagles berkampung di Hospital Orang Asli Gombak baru-baru ini.

PADA pagi Sabtu 7 Mei lalu, 44 jururawat yang bertugas di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur tidak betah memakai pakaian seragam yang biasa disarung setiap kali menjalankan tugas.


Masing-masing memakai kemeja-T putih dan seluar melangkah keluar dari pekarangan Hospital Gleneagles menaiki bas khas menuju ke suatu lokasi.

Setelah 40 minit berada di dalam perut bas, rombongan jururawat tersebut tiba di Hospital Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) dengan nawaitu mahu menyumbangkan ‘buah tangan’ kepada para pesakit di situ, selain meraikan Hari Jururawat Sedunia yang disambut pada 12 Mei setiap tahun.


Dengan mengangkat kotak-kotak sumbangan, tanpa lengah kesemua mereka mengatur langkah memasuki Hospital JHEOA atau dikenali dengan nama Hospital Orang Asli Gombak.


Aktiviti pembuka program amal tersebut bermula dengan penerangan dan demonstrasi mencuci tangan dengan cara betul yang melibatkan lebih 30 Orang Asli terdiri daripada 18 suku. Antaranya suku Semai, Temiar, Senoi, Melayu Negrito, Jakun dan sebagainya.


Difahamkan, hospital tersebut bukan sahaja memberikan dan merawat pesakit Orang Asli yang bermastautin di Gombak sahaja malah, untuk Orang Asli dari tempat-tempat lain.


Setelah selesai aktiviti demonstrasi membersihkan tangan, rombongan jururawat melawat ke wad-wad di bangunan bersebelahan yang menempatkan wad umun, wad bersalin, wad penyakit berjangkit dan wad kanak-kanak.


Kehadiran kami disambut oleh seorang lelaki berkerusi roda, Akam Ngah, 47, yang tidak jemu-jemu melemparkan senyuman sambil melambai-lambaikan tangannya.


Akam menghuni hospital berkenaan sejak usianya empat tahun selepas dijumpai di dalam reban ayam di Pos Kemar, Gerik, Perak kerana menghidap sawan.


Selepas berbalas lambaian dengan Akam, rombongan jururawat terus melawat pesakit-pesakit di wad sambil menyerahkan beg sumbangan berupa makanan, susu, biskut, ubat gigi, berus gigi, sabun serta beberapa barangan keperluan yang lain.
KANAK-KANAK di Rumah Titian Kasih ini gembira dengan kehadiran para jururawat dari Hospital Pantai Ampang.

Uniknya hospital JHEOA

Uniknya Hospital JHEOA berbanding hospital-hospital lain, jika seorang dalam sesebuah keluarga Orang Asli jatuh sakit, satu keluarga akan ‘berkampung’ di hospital.


Pelik apabila melihat dua katil dikembarkan yang dihuni oleh seorang wanita, Wok Hol Saoma, 70 dan lelaki, Yok Pau a/l Cheh, 65, dari Kampung Tuah, Pos Sinderot, Lipis, Pahang.


“Di sini keadaannya berlainan sedikit. Jika si isteri sakit, si suami boleh menemani isterinya dan berkongsi satu katil,” kata Ketua Jururawat Hospital JHEOA, Halijah Midin yang sudah berkhidmat selama sedekad di hospital berkenaan.


Dalam pada itu, Halijah menyifatkan aktiviti turun padang seperti yang dilakukan rombongan jururawat dari Hospital Gleneagles merupakan satu pendekatan yang baik bagi merapatkan hubungan mereka dengan para pesakit dalam kalangan orang Asli.


Bagi pembantu perawatan kesihatan, Ronizah Holen Abdullah, 41, dari suku kaum Semelai berasa seronok dapat turut sama membantu suku kaum Orang Asli yang merupakan sebahagian daripada dirinya.


Salah seorang jururawat dari Hospital Gleneagles, Sheela Anamalai, 34, begitu teruja dan gembira apabila dapat turut serta membantu memberikan sumbangan kepada pesakit.


“Ia merupakan pengalaman yang jarang diperoleh lebih-lebih lagi apabila berpeluang menjejakkan kaki ke perkampungan Orang Asli dan memberikan sedikit ole-ole buat mereka,” katanya.
DARI kiri: Norimah Jaafar, Faridah Hanim Solihin, Halijah Midin dan Ronizah Holen Abdullah, antara barisan jururawat dan pembantu perawatan di Hospital JHEOA.


Komitmen hospital

Selain Hospital Gleneagles, Pusat Perubatan Sentosa, di Jalan Chemur, Kuala Lumpur dan Hospital Pantai Ampang, Kuala Lumpur turut mengadakan program sempena meraikan hari penuh bermakna buat semua jururawat.


Di Pusat Perubatan Sentosa (PPS) lain pula ceritanya. PPS telah mengadakan ujian saringan kesihatan di lobi bagi membolehkan orang awam melakukan pemeriksaan kesihatan secara percuma.


Orang ramai berpeluang melakukan pemeriksaan tekanan darah tinggi, indeks jisim tubuh (BMI), lemak badan, kadar metabolisma badan, kandungan glukos dalam darah, kolesterol dalam darah dan ujian fleksibeliti selain mendapat nasihat secara terus daripada doktor.


Selain pemeriksaan kesihatan, demonstrasi urutan bayi dan penyediaan makanan sihat turut diadakan.


Pengurus besarnya, Gunavathy Kalee menyarankan, jururawat supaya tidak berkhidmat kepada pesakit di hospital sahaja malah, meluaskan perkhidmatan mereka kepada komuniti.


“Mereka juga perlu bersabar dalam menangani kerenah pesakit dan tidak merungut dalam menjalankan tugas. Mereka perlu faham bahawa pesakit bukan sengaja berkelakuan cerewet atau marah-marah tetapi, pesakit berada di dalam keadaan tidak stabil,” ujarnya.


Pada hari yang sama juga, PPS turut menyerahkan sumbangan wang tunai sebanyak RM10,500 kepada Persatuan Alzheimer Malaysia yang disampaikan kepada Timbalan pengerusi persatuan itu, Ong Eng Joo oleh Pengarah Kesihatan PPS, Dr. Mohd. Harris Lu.


Sementara itu, Hospital Pantai Ampang meraikan sambutan yang sama dengan mengadakan program khidmat masyarakat mengambil tempat di Rumah Titian Kasih, di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur. Ia merupakan sebuah Pusat Jagaan Anak Ibu Tunggal dan Anak Yatim.


Seramai 14 orang kakitangan dan Ketua Pegawai Jururawat, Zuraidah Othman bersama-sama menjayakan program tersebut.


Semua kakitangan yang terlibat bekerjasama membantu mengemaskan bilik, melipat baju, memberi makanan kepada kanak-kanak sambil menceriakan suasana dengan aktiviti menyanyi dan bercerita.


Sumber: www.kosmo.com.my
Oleh NURUL IZZA ROSLY 
izza.rosly@kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment