Thursday 12 May 2011

Malaysia: Perlukan jururawat lelaki

SEBAHAGIAN besar daripada mereka bukan saja memiliki diploma dan ijazah dalam bidang kejururawatan, malah ada yang lulusan sarjana. Namun, kerjaya dilakukan mungkin dipandang rendah, kotor dan perlu melayani kerenah pesakit tanpa mengira latar belakang agama dan kaum. 
Tugas jururawat ini rencam, daripada proses menukar lampin, baju, celana serta cadar sehingga memberi ubat dan memantau keadaan pesakit dilakukan. Berbanding banyak lagi kerjaya yang boleh diceburi dengan persekitaran lebih selesa, bersih, tidak berhadapan kerenah orang ramai yang pelbagai.
Persepsi segelintir masyarakat juga masih memandang rendah dan menganggap kerjaya ini tidak ada ‘kelas’. Lebih-lebih lagi apabila mereka perlu melakukan mengurus pesakit yang mungkin layak dilakukan amah.
Lebih memburukkan keadaan, ada pula laporan jururawat tidak mesra, suka menengking dan menarik muka masam dengan pesakit. 

Ketua Jabatan Sains Kejururawatan, Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Khadijah Lim Abdullah, mengakui persepsi masyarakat terhadap kerjaya ini memang berada pada tahap rendah, walaupun ia adalah tugas dianggap mencabar kerana perlu berhadapan dengan pesakit yang sesetengahnya amat sensitif. 

Kerjaya ini memerlukan minat yang tinggi, memahami tugas dengan baik, berkorban bekerja waktu shif. 

Katanya, mereka perlu memantau situasi pesakit dan memberikan ubat yang betul untuk mengelak sebarang kompilasi yang memburukkan lagi keadaan. 
Majoriti jururawat adalah wanita. Jururawat lelaki amat jarang kelihatan walhal perkhidmatan mereka amat diperlukan. 

Dalam tempoh lima tahun ini, hanya 461 jururawat lelaki daripada 83,000 jururawat dilahirkan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS). 

“Di UM umpamanya, seramai 15 calon lelaki mengikuti kursus kejururawatan daripada 100 pelajar yang terpilih. Mereka mampu mengikuti program berkenaan dengan baik tetapi kita sentiasa memberi mereka galakkan dan motivasi bagi mengelakkan rasa terasing atau wujud perbezaan gender apabila memulakan tugas kelak. 

“Tiada jurang perbezaan antara tugas jururawat wanita dan lelaki kerana mereka dilatih untuk melakukan kerja sewajarnya,” katanya. 

Lazimnya, kata Khadijah, jururawat lelaki diletakkan di bahagian psikiatari, bahagian kemalangan dan kecemasan. 

Jururawat lelaki tidak diletakkan di bahagian perbidanan dan sakit puan kerana bahagian ini khusus untuk pesakit wanita. Namun, kehadiran mereka sememangnya diperlukan dalam dunia perubatan, terutama bagi menguruskan pesakit lelaki yang malu dijaga jururawat wanita. 

“Ada kalanya pesakit lelaki tidak suka berterus terang mengenai keadaannya terutama berkaitan kehidupan seksual. Jika ada jururawat lelaki, pesakit boleh berkongsi cerita mengenai dirinya tanpa rasa malu. Di sini, peranan jururawat lelaki memberi kaunseling kepada pesakit juga diperlukan,” katanya. 

Bagaimanapun, masyarakat masih belum dapat menerima sepenuhnya kehadiran lelaki dalam bidang ini dan sering kali ia dianggap hanya sesuai untuk kaum wanita. Jumlah jururawat lelaki memang tidak ramai, tetapi dianggap tinggi berbanding sesetengah negara lain. 

Sejak awal 2000, kata Khadijah, banyak IPTS yang berlumba-lumba menyediakan kursus kejururawatan bagi menampung keperluan di hospital baru. 

“Persoalannya, dengan lambakan graduan yang ramai itu, adakah ia benar-benar mempunyai kualiti dan berkemahiran? Kita selalu juga dengar aduan orang ramai mengenai tingkah laku jururawat yang tidak memuaskan hati mereka. 

“Kita perlu lihat secara menyeluruh supaya jururawat dikeluarkan mempunyai pakej yang terbaik dalam menawarkan khidmat mereka. Tugas utama mereka memberi khidmat kepada masyarakat,” katanya yang pernah menjadi jururawat hampir 10 tahun di Hospital Universiti (sekarang dikenali sebagai Pusat Perubatan Universiti Malaya). 

Justeru, pelajar kejururawatan wajib menjalani latihan praktikal di hospital bagi mendedahkan mereka kepada situasi sebenar kerjaya itu. 

Sewajarnya juga, kata Khadijah, pemantauan lebih menyeluruh perlu dilakukan untuk memastikan semua IPTS melaksanakan program teori dan praktikal mengikut prosedur ditetapkan mengikut Lembaga Jururawat Malaysia.




Sumber: www.bharian.com.my
Oleh Jami'ah Shukri
jamia@bharian.com.my

No comments:

Post a Comment