Wednesday 23 February 2011

HSBB: Celcom pengendali kedua bekerjasama dengan TM

Shazalli Ramly (kiri) bertukar-tukar dokumen perjanjian kerjasama dengan Zamzamzairani Mohd. Isa pada majlis tandatangan perjanjian itu di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 22 Feb. - Telekom Malaysia Bhd. (TM) hari ini menandatangani perjanjian kerjasama dengan sebuah lagi pengendali telekomunikasi, Celcom Axiata Bhd. (Celcom) bagi menyediakan perkhidmatan bersepadu pelbagai akses menerusi perkhidmatan tetap dan mudah alih kepada para pelanggan Celcom.

Pada tahun lalu, TM telah memeterai perjanjian kerjasama berkaitan jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) dengan Maxis Bhd. (Maxis).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Seri Zamzamzairani Mohd. Isa berkata, melalui perjanjian yang dimeterai dengan Celcom, beberapa aspek kerjasama akan dijalankan melalui kedua-dua pihak.

Salah satu, kata Zamzamzairani adalah kerjasama untuk akses HSBB, transmisi HSBB, akses pukal Internet, akses talian pelanggan digital, sistem rangkaian gentian menerusi pajakan pukal jangka panjang dan perkhidmatan rangkaian operator mudah alih maya (MVNO).

''Perjanjian yang terbentuk pada hari ini menegaskan komitmen TM terhadap perjanjian awam-swasta (PPP) dalam memastikan HSBB merupakan satu rangkaian akses terbuka dan menggalakkan semua pencari akses dan pembekal perkhidmatan nilai tambah yang memiliki lesen Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk menjadi rakan usaha sama TM,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis pemeteraian kerjasama penyelesaian bertumpu pelbagai akses tetap dan mudah alih untuk pengguna di antara TM dan Celcom di sini hari ini.

Majlis itu disaksikan oleh Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang Gandum.

Hadir sama pada majlis ialah Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Datuk Seri Shazalli Ramly.

Bagi menyokong peningkatan trafik data di sepanjang rangkaian mudah alih Celcom, tambah Zamzamzairani, TM akan menjalankan kerja-kerja memasang gentian untuk semua laman utama dan titik pengumpulan rangkaian untuk Celcom menerusi perjanjian pajakan sistem rangkaian gentian selama 10 tahun.

Katanya, TM turut berpeluang untuk menggunakan rangkaian selular Celcom sebagai MVNO untuk menawarkan perkhidmatan mudah alih suara dan data dengan jenama sendiri sebagai tambahan kepada produk dan perkhidmatan talian tetap TM sedia ada.

''Kami di TM percaya usaha berganding bahu dan bekerjasama dengan pembekal-pembekal perkhidmatan lain, saling melengkapi untuk bersama-sama membantu negara mencapai inisiatif Jalur Lebar Negara dan aspirasi kerajaan meningkatkan penembusan jalur lebar isi rumah kepada 75 peratus menjelang 2015,'' jelas beliau.

Sementara itu, Shazalli menambah, kerjasama perkhidmatan HSBB itu akan membolehkan Celcom menawarkan perkhidmatan jalur lebar talian tetap berasaskan gentiannya sendiri.

Perkhidmatan itu katanya, dapat diakses kepada berjuta-juta premis dan pejabat, selain perkhidmatan Internet protokol TV (IPTV) video atas permintaan (VoD) dan perkhidmatan multimedia yang diperkayakan pada masa hadapan.

''Celcom boleh menggunakan perkhidmatan akses talian pelanggan digital TM untuk menawarkan perkhidmatan Talian Pelanggan Digital (DSL) Celcom tersendiri bagi melengkapkan liputan jalur lebar mudah alih terluas 3G/HSDPA Celcom untuk kawasan yang buat masa ini tidak diliputi HSBB,'' ujarnya.

Sumber: utusan.com.my
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment