Sunday, 17 October 2010
Malaysia, JELEBU: RM41 juta naik taraf jalan raya
JELEBU 16 Okt. - Kerajaan negeri akan membelanjakan hampir RM41 juta bagi menanggung kos kerja menaik taraf kemudahan jalan raya bermula dari Kampung Chennah hingga ke Kampung Esok, di sini yang dijangkakan siap menjelang 2013.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perumahan, Kerajaan Tempatan, Kampung Baru dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Siow Chen Pin berkata, projek naik taraf jalan sejauh 4.5 kilometer itu telah dimulakan operasinya sejak Ogos lalu.
"Projek yang menelan belanja hampir RM41 juta ini turut meliputi kerja-kerja pelebaran jalan termasuk pembinaan beberapa buah jambatan sepanjang laluan di kedua-dua kampung terbabit.
"Peruntukan untuk menjalankan projek ini diperoleh dari Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Menurutnya, sebaik projek itu selesai, ia diyakini dapat dimanfaatkan oleh penduduk sekitar untuk menikmati kemudahan jaringan jalan raya yang lebih baik dan sistematik.
"Melalui projek ini, penduduk kampung berkenaan dapat menggunakan kemudahan jalan raya yang lebih luas dan selesa nanti," ujarnya.
Katanya lagi, peningkatan taraf jalan raya itu juga dijangkakan dapat merancakkan lagi aktiviti ekonomi penduduk setempat pada masa akan datang.
"Saya percaya apabila laluan ini siap nanti, lebih 300 penduduk sekitar kawasan berkenaan dapat meningkatkan lagi aktiviti ekonomi mereka," jelasnya.
Tambah Chen Pin, menerusi projek berkenaan, ia juga diyakini dapat menggalakkan lagi pelancong untuk berkunjung ke beberapa lokasi tarikan pelancong di sini.
"Bila jalan ini siap nanti, dijangkakan lebih ramai pelancong akan tertarik untuk berkunjung di beberapa pusat rekreasi di kawasan berhampiran seperti Pusat Rekreasi Lata Kijang serta Kenaboi River Challenge," katanya.
Sumber: utusan.com.my
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment