Tuesday 8 June 2010

CSI Kebanggaan Malaysia

DSP SHARUL OTHMAN MANSOR

Oleh UMAVATHI RAMAYAH
Gambar AZLI AHAD

APABILA berbicara mengenai unit siasatan tempat Jenayah (CSI), pastinya drama bersiri CSI New York, Las Vegas dan Miami terlintas dalam pemikiran kita.

Berlatarbelakangkan set penggambaran di Las Vegas, siri itu menayangkan tugas sekumpulan pakar forensik di Jabatan Polis yang bekerja bertungkus-lumus mencari kebenaran atau secara tepat bukti yang dapat membebaskan seseorang atau yang didakwa bersalah.

Peminat fanatik drama bersiri penyiasatan itu pastinya teruja memerhatikan setiap gerak langkah penyiasat-penyiasat CSI dalam menjejaki penjenayah sesuatu kes sehingga selesai.

Perasaan gelisah sentiasa bermain di benak sanubari penonton yang tidak sabar mengetahui kesudahan cerita kegemaran mereka.

Kecekapan penyiasat CSI di dalam siri berkenaan ke lokasi kejadian mengumpul bahan bukti membuatkan peminat fanatik itu tidak lekang daripada televisyen.

Dengan menggunakan pelbagai kaedah dan teknik moden hari ini, penonton akhirnya menarik nafas lega apabila kesimpulan kepada kes yang rumit berjaya dirungkai satu persatu oleh pasukan CSI.

Komputer berteknologi tinggi dengan paparan grafik tempat kejadian dan pelbagai macam pembunuhan ditayangkan secara jelas dan terperinci.

Namun apakah siasatan CSI yang ditayangkan di televisyen memberi gambaran sebenar tentang penyiasatan di negara kita?

Pastinya tidak. Ini kerana dalam lakonan semua kes dapat diselesaikan dalam tempoh yang cepat (kira-kira sejam tayangan setiap siri) dan hanya memperolehi hasil positif.

Namun hakikatnya, sesuatu penyiasatan sebenarnya akan mengambil jangka masa yang lama terutamanya apabila melibatkan kes-kes berprofil tinggi seperti kes rogol dan bunuh, Canny Ong dan kes pembunuhan kejam Nurin Jazlin Jazimin, sebagai contoh.

Terbaru kes pembunuhan model warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu pula pasukan CSI kita terpaksa berkampung hampir tiga minggu untuk mengumpul bukti sebelum suspek diheret ke mahkamah.

Bagaimanapun penjenayah kini dilihat semakin pintar kerana kebanyakan kejadian jenayah yang berlaku membabitkan cubaan oleh penjenayah-penjenayah untuk melupuskan bahan bukti daripada dikesan termasuk menggunakan sarung tangan bagi mengelak kesan cap jari.

Apakah penjenayah itu menyedari setitik peluh yang keluar dari badan mereka juga dapat dikesan identiti suspek melalui ujian kaedah asid deoksiribonukleik (DNA).

Kaedah ini telah lama digunakan secara meluas dan melalui kaedah itu, banyak kes dapat diselesaikan.

Dalam kes rogol misalnya, air mani perogol dapat dikesan menggunakan alat sinaran cahaya yang dipanggil 'Polilight PL500'.

Cahaya tersebut dilihat bukan saja mampu mengesan air mani malah tompokan darah walaupun dalam keadaan kering dan hampir hilang berbulan lamanya dalam tempoh cepat dan paling penting tepat.

Menariknya, berdasarkan kesan tompokan darah itu sendiri pasukan CSI dapat menentukan peralatan serta jarak di antara suspek dan mangsa ketika pembunuhan.

Deputi Supritendan CSI Sharul Othman Mansor ketika ditemui baru-baru ini di Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkata, berdasarkan corak tompokan darah itu sendiri, pihaknya dapat membuat kesimpulan senjata yang digunakan suspek ketika kejadian.

"Sebagai contoh, tompokan darah besar dan kasar selalunya dilihat menggunakan senjata tumpul seperti topi keledar dan kayu."
"Manakala sebaliknya tompokan halus pula digambarkan untuk suspek yang menggunakan senjata tajam seperti pisau dan parang," jelasnya.

Selain itu, katanya, ketinggian tompokan darah itu sendiri dapat 'menceritakan' kedudukan suspek dan mangsa ketika kejadian.

Selain daripada mencari bahan bukti di lokasi kejadian, pihak CSI juga berperanan dalam mendokumentasikan dan mengumpulkan bahan-bahan bukti untuk dibawa ke makmal forensik untuk membuat pengecaman terhadap bahan bukti itu.

Peranan yang dimainkan oleh unit ini secara langsung membantu mengurangkan tugas-tugas pegawai penyiasat atau risikan supaya lebih cepat untuk mengesan penjenayah.

Sharul Othman, 48, memberitahu, pasukan CSI selalunya menghadapi masalah terutamanya dalam lokasi kejadian yang sukar dikawal dengan kehadiran orang ramai.

"Ini kerana bahan bukti di tempat kejadian mungkin telah beralih atau terdapat banyak tapak kaki sehingga menyukarkan pasukan kami mengenal pasti mereka yang terlibat."
"Akibatnya, kejadian jenayah yang berlaku sukar untuk dianalisis dan dirumuskan. Ini akan menyebabkan kekeliruan dalam menerangkan atau membina semula kes tersebut," jelasnya.

Menyingkap latar belakang Sharul Othman, beliau sebelum ini pernah bertugas sebagai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Seremban sebelum memegang jawatan ini.

Anak kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan ini bertemu jodoh dengan Sherlina Mohd. Ismail, 38, serta dikurniakan seorang puteri dan seorang putera.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0608&sec=Polis_%26_Tentera&pg=te_01.htm#ixzz2WS72kO9K
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment