Sunday, 22 January 2012

Jakuzi Air Terjun Lata Kinjang


AIR Terjun Lata Kinjang diiktiraf sebagai air terjun tertinggi Asia Tenggara dengan ketinggian 850 meter.

KEINDAHAN dan keunikan alam semula jadi Air Terjun Lata Kinjang pasti memberikan pengalaman berharga dan sukar dilupakan kepada mereka yang pernah mengunjunginya.



Kedudukannya yang dikelilingi Hutan Lipur Lata Kinjang yang kaya dengan flora dan fauna dara menjadikannya lokasi yang ideal untuk perkelahan keluarga.


Tidak hairanlah, saban minggu, musim cuti sekolah atau cuti umum, kawasan air terjun yang terletak kira-kira 14 kilometer dari pekan Tapah, Perak itu tidak pernah sunyi dengan kehadiran pengunjung.


Dari Tapah, pengunjung perlu melalui jalan Persekutuan menuju ke pekan Chenderiang iaitu sebuah pekan lama yang paling hampir dengan kawasan air terjun itu. 


Sepanjang perjalanan, pengunjung akan melewati panorama perkampungan Melayu serta dusun buah-buahan milik penduduk tempatan di kiri dan kanan jalan yang mampu memberi pemandangan menyejukkan mata.


Di sekitar kawasan itu juga terdapat sebanyak 162 Orang Asli dari 25 keluarga masyarakat Suku Semai. Jika bernasib baik, pengunjung akan disambut dengan senyuman mesra anak-anak Orang Asli yang menjadi penghuni setia di situ.


Menurut sejarah, ia dinamakan sebagai Lata Kinjang kerana di kawasan itu terdapat banyak Kijang. Orang lnggeris yang pernah sampai ke tempat itu pada suatu ketika dahulu kerana memburu Kijang kemudian tersalah menyebut nama Kijang lalu berubah kepada nama Kinjang.


Lata Kinjang juga terkenal dengan mitos sang kelembai. Kononnya, bekas tapak kaki, lesong menumbuk padi dan tapak semaian sayur sang kelembai yang telah disumpah menjadi batu masih boleh dilihat sehingga kini.


Diiktiraf sebagai air terjun tertinggi di Asia Tenggara (Southeast Asian), air terjun setinggi 850 meter yang terletak di lereng Banjaran Titiwangsa yang menjadi tulang belakang Semenanjung Malaysia itu nyata memukau pandangan.


Melihat air dingin yang mengalir deras dari puncaknya di celah-celah batu yang disusun indah seolah-olah menggamit kehadiran pengunjung.


PELBAGAI kraftangan dan cenderamata turut dijual sebagai kenangan di Lata Kinjang.


Pada masa yang sama, peluang menghayati suasana rimba diselang-seli bunyi unggas bersahut-sahutan membuatkan pengunjung terlupa seketika hiruk pikuk kota yang menyesakkan fikiran.


Nah! Tunggu apa lagi, pilihlah lokasi yang sesuai untuk berkelah dan bermandi-manda di sepanjang sungai. Jika mahu meneroka keindahan di atas puncaknya, pengunjung boleh menyusuri tebing yang mengambil masa selama 40 minit.


Pengunjung juga boleh menikmati panorama indah dari jambatan gantung yang dibina. Bagaimanapun, ketika ini ia ditutup buat sementara waktu untuk kerja-kerja baik pulih.


Aktivit Lasak

MENCUBA pengalaman abseiling di air
terjun yang menyeronokkan.


Bagi mereka yang mahu mencuba aktiviti lasak terdapat aktiviti abseiling air terjun yang disediakan oleh syarikat Scaler Adventures dengan sedikit bayaran.


Rasa cemas, takut dan teruja datang bersilih ganti saat menuruni kawasan air terjun pada ketinggian 100 hingga 200 meter.


Walaupun adakalanya seperti mahu tergelincir, namun keseronokan mula dirasai apabila semakin tiba ke bawah. Air deras yang menghempas badan dirasakan seperti urutan air di jakuzi.


Pada masa yang sama, pengunjung boleh melakukan penjelajahan di dalam hutan atau berkhemah di kawasan sekitarnya. Namun dengan kebenaran daripada pihak Jabatan Perhutanan Negeri Perak.


Selepas puas bermandi-manda dan mencuba pelbagai aktiviti yang disediakan perut pasti berasa lapar. Pengunjung boleh menikmati hidangan yang dibawa di atas kerusi dan meja serta beberapa pondok istirehat yang disediakan. 


Bagi yang tidak membawa bekalan makanan sendiri, usah gusar, terdapat gerai makanan dan minuman yang disediakan di kawasan berhampiran.


Antara kemudahan-kemudahan lain yang terdapat di situ ialah tandas, tempat meletak kereta, klinik, surau dan sebagainya.





Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA 
ammar.jazlan@kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment