Tuesday, 10 January 2012

Malaysia: Program khas bantu pelatih PLKN kuasai kemahiran 3M

PUTRAJAYA, Malaysia 10 Jan. - Satu program khas akan dilaksanakan untuk para pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dikenal pasti masih tidak menguasai kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun langkah itu agak terlewat tetapi ia penting bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam proses pembelajaran.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, pihaknya akan mendapatkan maklumat terperinci dari PLKN untuk mengenal pasti latar belakang pelajar termasuk jenis sekolah serta kedudukan mereka sama ada di bandar atau luar bandar.

"Dari situ kita akan susun balik, mungkin sekolah-sekolah yang dikenal pasti dan kalau perlu ada program khas untuk atasi masalah itu, kita akan laksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan amanat tahun baru di Majlis Perutusan Khas Kementerian Pelajaran di sini, hari ini.

Laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini memetik kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menyebut 8 peratus daripada 6,667 pelatih PLKN dari 30 pusat latihan didapati tidak boleh membaca dan menulis.

Keputusan itu berdasarkan satu projek perintis menggunakan satu modul yang dipanggil I-Smart yang dijalankan ke atas kumpulan ketiga pelatih PLKN pada Ogos 2011.

Muhyiddin berkata, pihak beliau menyifatkan penemuan oleh PLKN itu adalah penting kerana dalam rekod kementerian terdapat sebilangan kecil pelajar yang sudah di tingkatan lima masih menghadapi masalah membaca dan menulis.

Atas sebab itulah, beliau menambah, pihaknya memperkenalkan program Literasi dan Numerasi (LINUS) untuk menguji tahap kefahaman dan keupayaan pelajar termasuk dari segi fizikal, pendengaran, penglihatan sejak darjah satu lagi.

"Tahun lepas program itu amat berkesan sekali kerana lebih 90 peratus telah dapat menerima proses pembelajaran dengan baik selepas menyertai LINUS," katanya.

UTUSAN MALAYSIA

No comments:

Post a Comment