KUALA Lumpur sinonim dengan kesibukan kotanya yang menjadi tumpuan ramai, namun penulis bersama dua lagi teman terpanggil untuk lari sejenak daripada kesibukan itu merasai keindahan dan kedamaian alam semula jadi di Pulau Pangkor, Perak.
Perjalanan kami mengambil masa selama 4-jam 30-minit menggunakan jalan lama yang penuh dengan pemandangan desa, dan setibanya di jeti Lumut Waterfront, kami terus beratur untuk membeli tiket berharga RM10 seorang bagi perjalanan pergi dan balik.
Setelah 30 minit di atas feri, perjalanan diteruskan menuju ke Pangkor Inn Chalet yang sudah kami tempah terlebih dahulu.
Kami berehat dan membuat keputusan untuk bersiar-siar pada waktu malam di deretan kedai seperti pasar malam tidak jauh dari tempat kami menginap.
Setelah puas meronda dan bersiar-siar, kami memilih untuk bersantai di tepi pantai sambil didendangkan dengan petikan gitar oleh salah seorang teman bagi melupakan seketika masalah dan kesibukan di kota.
Tiba keesokan harinya, kami menjadikan hari berkenaan terus bermakna dengan melakukan aktiviti snorkeling dengan harga RM15 untuk sewa peralatan termasuk bersiar-siar sekitar pulau.
Pulau Pangkor sememangnya terkenal dengan terumbu karangnya yang sangat indah dan terpelihara. Jadi tidak pelik jika destinasi ini menjadi tumpuan pelancong luar negara mahu pun tempatan.
Sebelum pulang, kami dibawa menaiki bot laju mengelilingi pulau berkenaan sambil mendengar penerangan jurumudi yang membawa kami melihat beberapa pantai yang sangat indah seperti Monkey Bay dan Coral Bay.
Dalam asyik bersiar-siar, kami tidak sedar masa hampir senja, lantas terbit di fikiran kami untuk menyaksikan pemandangan matahari terbenam dan kami sempat merakamkan beberapa gambar untuk dijadikan kenangan bersama sebelum pulang ke chalet.
Pada keesokannya, awal-awal lagi kami telah bangun dan terus menuju ke Pantai Coral Bay yang terletak bersebelahan dengan pantai Teluk Nipah sebagai peluang terakhir kami bermandi-manda sebelum pulang ke Kuala Lumpur.
Walaupun ia hanya percutian bajet, namun segala pengalaman dan kenangan kami bertiga di sini akan terus terpahat di dalam hati dan minda kami.- IFTHIQAR KHAWARIZMI
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pelancongan/20130202/pl_08/Panggilan-Pulau-Pangkor#ixzz2KCFINlR7
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment