Wednesday, 8 May 2013

Letak syarat jika mahu derma


PARIT BUNTAR - Seorang suri rumah terkejut dengan kehadiran beberapa kanak-kanak bawah umur di sekitar Kampung Sungai Baru, Kuala Kurau di sini yang meminta derma ikhlas bagi pembinaan surau, namun meletakkan syarat had derma.

Mangsa, Azeera Hassan, 25, berkata, dia terkejut dengan tuntutan seorang kanak-kanak bawah umur yang menolak wang pemberiannya sebanyak RM3, lalu menetapkan had derma sekurang-kurangnya RM5 dengan alasan ia ditetapkan sekolah tahfiz terbabit.

“Pada mulanya saya memberikan RM3 kepada kanak-kanak tersebut namun ditolaknya kerana menurutnya wang saya beri tidak sampai had yang ditetapkan.

“Saya merasakan sesuatu yang tidak kena apabila syarat sedemikian ditetapkan kanak-kanak terbabit, namun atas dasar kasihan, saya serahkan juga wang tunai RM5 kepadanya.

“Bagaimanapun, saya curiga dengan kehadiran kanak-kanak berkenaan dan beberapa kanak-kanak lain ke kampung kami untuk memohon sumbangan derma susulan musim pilihan raya berakhir dan mengesyaki ia didalangi sindiket,” katanya sewaktu ditemui media di rumahnya di sini semalam.

Azeera berkata, sebelum menyerahkan derma, dia sempat meminta kanak-kanak terbabit menunjukkan sebarang surat kebenaran daripada pihak berwajib namun ditolaknya dengan memberi alasan sudah kesuntukan masa.

“Setelah memujuk, kanak-kanak terbabit akhirnya memberikan sebuah failpenuh dengan pelbagai gambar termasuk surat kebenaran memohon derma yang hanya menggunakan tulisan tangan dan diakui dengan pelbagai cop rasmi daripada polis dari berlainan balai dan negeri.

“Namun, saya agak musykil kerana cop rasmi itu diturunkan pada surat berkenaan pada tahun 2008 dan kanak-kanak itu tidak menunjukkan surat kebenaran terkini,” katanya.

Azeera berkata, dia menjadi bertambah curiga apabila cop rasmi yang diturunkan pada resit sumbangan derma tidak sama dengan cop rasmi sekolah tahfiz terbabit.

“Justeru saya menggesa pihak berwajib memantau perkara ini kerana bimbang lebih ramai penduduk a diperdayakan sindiket kutipan derma yang menggunakan kanak-kanak untuk meraih simpati.

“Jika sebelum ini, sindiket kutipan derma sekolah tahfiz tertumpu di kawasan bandar, saya terkejut dengan perubahan taktik mereka yang kini menyelusup di kawasan luar bandar mengaut keuntungan,” katanya.

Sementara itu, calon Dun Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari menggesa pihak berkenaan mempertingkatkan pemantauan terhadap kehadiran sindiket kutipan derma yang semakin berleluasa di kawasan ini sejak berakhirnya musim pilihan raya.

“Saya lihat perkara ini satu perkembangan tidak sihat memandangkan kumpulan ini seolah-olah cuba mengambil kesempatan di atas kebaikan penduduk luar bandar untuk kaut keuntungan.

“Selain itu, unsur memanipulasi kanak-kanak bawah umur juga amat membimbangkan memandangkan saya tidak menolak kemungkinan berlakunya kes-kes lebih berat seperti penculikan sekiranya tidak ditangani segera,” katanya.

KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN
9 Mei 2013

No comments:

Post a Comment