Wednesday 8 May 2013

Mayat jurutera ditemui

WARTAWAN SINAR HARIAN
9 Mei 2013

LEDANG – Mayat seorang jurutera ditemui dengan tiga kesan tembakan di sebuah ladang di Jalan Bekok, Tangkak, di sini, kelmarin.

Mangsa, Muthu Pillai, 41, dari Batu Berendam, Melaka ditemui orang awam pada jam 7.30 malam lengkap berpakaian dengan kesan tembakan di bahagian kiri kepala, dada dan pinggang.
Adik mangsa, Sivan, 38, berkata, dia mengetahui insiden yang menimpa abangnya itu melalui kakak iparnya (isteri Muthu) pada jam 2.30 pagi, semalam selepas menerima panggilan telefon daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang.

“Pada mulanya, saya tidak percaya perkara itu sehinggalah selepas membuat pengecaman mayat abang di rumah mayat Hospital Tangkak.

“Saya sedih tetapi terpaksa menerima hakikat abang sudah meninggal dunia,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, pada hari kejadian, Muthu bekerja separuh hari dan sempat menikmati makan tengah hari bersama keluarganya.

“Kemudian pada jam 2.30 petang, dia memberitahu isterinya mahu keluar rumah menemui rakan tetapi tidak dinyatakan lokasi yang ditujunya.

“Kehilangan abang disedari kakak ipar selepas menerima panggilan telefon daripada IPD Ledang,” katanya.

Katanya, Muthu sering pulang lewat ke rumah jika keluar menemui rakannya menyebabkan kakak ipar tidak mengesyaki perkara buruk telah menimpa suaminya.

Sivan berkata, dia sangat terkejut dengan kejadian tersebut kerana abangnya tidak mempunyai musuh serta tidak pernah mengadu diganggu mana-mana individu tidak dikenali.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris mengesahkan menerima laporan penemuan mayat seorang lelaki di Bekok.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengetahui motif sebenar kejadian dan mengesan suspek terlibat.

“Kita juga sedang siasat untuk memastikan sama ada mangsa dibunuh di tempat lain sebelum ditemui di tempat kejadian.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 kanun keseksaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment