Monday, 20 May 2013

Kuala Terengganu: Kunjungan pelancong hambar

Shaza Haniza sedang menyusun pelbagai jenis batik lukisan tangan untuk dipamerkan kepada pembeli.
KUALA TERENGGANU – Beberapa peniaga ditemui di sekitar Bazar Warisan dan Pasar Besar Kedai Payang mengakui kunjungan pelancong ke Terengganu agak hambar berbanding tahun sebelum ini.
Pekerja kedai batik, Shaza Haniza Mamat, 24, berkata, kebiasaannya, pelancong akan mula mengunjungi Terengganu menjelang musim cuti persekolahan, tetapi kali ini kunjungan mereka tidak begitu meriah, sekali gus tidak merancakkan aktiviti jual beli.

“Kita harap sempena Tahun Melawat Terengganu 2013 (TMT2013) ini, dapat mengubah persepsi masyarakat untuk melihat sesuatu yang menarik di sini. Tidak disangkal, ramai yang lebih tertumpu untuk mengunjungi pulau-pulau yang terdapat di negeri ini.

“Walaupun begitu, kita akui, sebagai peniaga kita akan berdepan dengan suasana pasang surut. Kemeriahan kunjungan pelancong ke sini untuk mencari batik buatan tangan yang disifatkan lebih kukuh dan kuat agak hambar,” katanya.

Ditanya mengenai harga barangan yang dijual di sini yang didakwa sesetengah pihak agak mahal terutama batik, katanya, ia selaras dengan harga pasaran.

Sehubungan itu, katanya, dia berharap agar promosi lebih agresif diadakan bagi membantu merancakkan lagi kunjungan pelancong ke negeri ini khususnya di pusat bandar Terengganu.

“Bukan tiada langsung pelancong, ada. Tetapi, tidak meriah dan tidak rancak. Seolah-olah kita bukan di TMT2013. Jadi, pada saya, mungkin dengan mengadakan promosi secara lebih kerap akan dapat membantu menarik lebih ramai pelancong ke sini,” katanya.

Sementara itu, pekerja kedai cenderamata, Anisa Mamat, 23, berkata, sambutan pelancong agak hambar lebih-lebih lagi setelah aktiviti Persembahan Kebudayaan yang dijalankan pada Jumaat hingga Ahad dihentikan, dan hanya tinggal Payang Walk.

“Kalau dulu ketika persembahan kebudayaan sedang rancak diadakan, suasana agak meriah dan memberi semangat kepada kami sebagai penjual untuk menjalankan perniagaan.

“Kebanyakan pelancong mahukan sesuatu yang unik dan hasil kraf tangan yang melambangkan Terengganu. Bagaimanapun, dengan statistik kunjungan yang saya sendiri lihat agak hambar ini, sukar bagi kami untuk luaskan perniagaan,” katanya.

Tambahnya lagi, kebiasaannya, tahun sebelum ini, pengunjung ramai berkunjung ke Terengganu ketika cuti persekolahan pada pertengahan tahun memandangkan hujung tahun Terengganu biasa berdepan musim tengkujuh.

“Sebelum ini, saya dapati ramai pelancong berkunjung ke sini walaupun bukan diisytiharkan TMT2013. Tahun ini, secara peribadi saya berpandangan kunjungan pelancong agak kurang sedikit berbanding tahun lalu,” katanya.

No comments:

Post a Comment