Oleh ABDUL RAZAK DIN
IPOH 27 Jun - Cadangan kerajaan pakatan DAP, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak untuk memberikan status hak milik kekal 999 tahun kepada penduduk yang mendiami lot-lot tanah di kampung baru di seluruh negeri ini menimbulkan persoalan kerana ia dilihat lebih bermotifkan politik.
Ini kerana, pada masa yang sama, kerajaan negeri hanya merancang memberikan status hak milik 99 tahun kepada penduduk di Rancangan Kampung Tersusun (RKT).
Di seluruh negeri Perak, terdapat 60,000 penduduk di kampung baru dengan kira-kira 80 peratus kaum Cina.
Sementara RKT terdiri daripada 73,703 penduduk dengan pecahan 44.02 peratus Melayu, Cina (37.93 peratus) dan India (18.05 peratus).
Cadangan untuk memberi status hak milik kekal itu dianggap sebagai luar biasa kerana kerajaan campuran Perak baru tiga bulan memerintah.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaludin ketika menggulung usul di Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini hari ini berkata, rasional untuk memberi hak milik kekal dibuat berdasarkan prinsip keadilan dan ia mengikut apa yang dibenarkan oleh Kanun Tanah Negara.
Untuk itu katanya, beliau akan merujuk cadangan tersebut mengikut Kanun Tanah Negara atau mana-mana perundangan yang dibenarkan.
Ini tertakluk kepada keputusan dan pertimbangan yang akan dibuat oleh kerajaan negeri dan juga kuasa yang diperuntukkan oleh undang-undang, katanya
Ekoran itu, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir (BN-Pangkor) bangun bertanyakan apakah rasional memberikan hak milik kekal kepada 60,000 lot tanah tersebut.
Katanya, adakah ia berdasarkan faktor ekonomi iaitu bagi membolehkan tanah itu dicagar untuk tujuan perniagaan atau ia lebih berkait dengan isu politik demi menunaikan janji kerajaan negeri yang didominasi oleh DAP.
Zambry turut mempersoalkan kenapa hanya 60,000 lot di kampung baru itu sahaja disyorkan untuk diberikan status hak milik kekal 999 tahun.
Kenapa tidak kepada semua tanah di Perak yang mempunyai penduduk tanpa mengira Melayu, Cina atau India, katanya.
Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali (BN-Pengkalan Hulu) pula bertanya, jika kerajaan negeri jujur, semua tanah di Perak perlu diberikan geran kekal sama ada untuk tujuan pertanian atau industri.
Mohammad Nizar bagaimanapun enggan mengulas lanjut soalan daripada kedua-dua wakil BN itu.
Namun kepada soalan bertulis Datuk Hasbullah Osman (BN-Temenggor) sama ada RKT akan diberikan hak milik kekal, Mohammad Nizar berkata, lot-lot tanah di RKT akan diberikan status pajakan 99 tahun.
Sama ada kampung tersusun akan diberi taraf tanah kekal seperti yang akan diberi kepada kampung baru, saya ingin menjelaskan bahawa kampung tersusun adalah berstatus pegangan pajakan selama 99 tahun.
Sama ada hak milik pegangan kekal akan diberikan seperti yang akan diberikan kepada kampung baru adalah tertakluk kepada keputusan dan pertimbangan yang akan dibuat oleh kerajaan negeri dan juga kuasa yang diperuntukkan oleh undang-undang berkaitan, katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0628&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm#ixzz2ShYipQMm
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment