Friday, 22 June 2012

LANGKAWI, Malaysia: Seni kristal pulau legenda


PULAU Langkawi selain terkenal dengan legenda Mahsurinya, kepelbagaian produk kraf tangan yang dihasilkan di pusat peranginan ini sentiasa mendapat perhatian pelancong.


Antara paling popular ialah perhiasan kristal Langkawi yang bukan saja nampak mewah dan eksklusif malah setanding dengan kristal jenama-jenama antarabangsa.

Menyedari peluang perniagaan yang luasl, Faizy Crystal Glass Blowing Sdn. Bhd. (Faizy Crystal), memilih Langkawi sebagai tempat strategik melebarkan sayap perniagaannya.

Sebagai seorang yang berkemahiran dalam bidang pembuatan produk ini pemiliknya, Kamarul Faizy Roslan, 43, melihat pasaran kristal berpotensi luas untuk dimajukan.

Katanya, dia berpengalaman bekerja dengan syarikat Industri Kristal Malaysia (Inkrisma) yang kemudian ditukar namanya kepada Langkawi Crystal.

“Pada tahun 2000 apabila syarikat itu tidak lagi aktif dalam pembuatan kristal saya memutuskan untuk bekerja sendiri menghasilkan kristal.

“Saya melihat pasaran kristal di sini mudah berkembang dan mendapat permintaan menggalakkan daripada pelancong sama ada dari dalam mahu pun luar negara," katanya.

Tambah anak kelahiran Batu Pahat Johor itu, proses menghasilkan kristal tidak mudah.

Katanya, ia memerlukan kesabaran dan ketelitian kerana kerja pembuatan perlu dilakukan dengan sempurna walaupun terpaksa berhadapan dengan api panas sehingga 1,400 darjah celcius.

Menghasilkan produk kristal yang besar, jelasnya, memerlukan teknik meniup bagi membentuk kristal menjadi bentuk yang diingini.

Tambahnya, setiap tiupan kristal yang akan dibentuk bergantung kepada saiz dan pekerja perlu bijak mengawal api ketika proses pembentukan dilakukan.

“Kalau nak produk besar, api kena lebih besar dan terpaksa tiup lebih kuat. Kalau produk kecil, api juga kecil dan tak perlu tiup. Inilah keunikan kristal yang kami buat. Risiko keselamatan juga lebih tinggi," katanya yang telah terlibat dalam penghasilan kristal sejak 1995.

Katanya, produk kristal yang kecil seperti cenderamata lebih mendapat perhatian daripada pengunjung.

“Pelancong lebih suka membeli produk yang kecil dan ringan. Selain mudah dibawa ia juga nampak menarik dan sesuai untuk dijadikan barangan hiasan dan cenderamata," kata Faizy.
Namun katanya, selain tertumpu kepada penghasilan produk kristal yang berbentuk cenderamata terdapat juga produk yang ditempah khas.

“Produk ini selalunya ditempah oleh pelanggan dan dihasilkan mengikut bentuk, saiz dan warna yang diminta mereka.

“Harga yang kami kenakan juga amat berpatutan berdasarkan saiz dan corak yang dihasilkan.

“Purata harga produk yang dijual serendah RM5 sehingga RM3,000. Bagi produk yang eksklusif paling tinggi berharga sehingga RM8,000," ujarnya.

Tambah Kamarul Faizy, idea setiap corak yang dihasilkan adalah daripada ilham sendiri selain pandangan pelanggan yang berkunjung.

Masa yang diambil untuk menghasilkan setiap produk kristal bergantung kepada tahap kesukaran dan saiznya.

“Bagi cenderamata kecil boleh siap dalam tempoh dua atau tiga minit, paling lama pun dua jam.

“Tetapi produk tempahan yang eksklusif kadang kala mengambil masa hingga dua minggu untuk siap," katanya.

Tambah Kamarul Faizy lagi, antara cabaran utama yang perlu dihadapi pengusaha produk kristal adalah kepakaran dan tenaga kerja.

Begitupun hiasan kristal keluaran syarikatnya kini telah menembusi pasaran luar seperti di Australia.

Sementara itu, salah seorang pekerja peniup kristal di Faizy Crystal , Zaidi Zainol, 33, berkata, sebagai peniup kristal seseorang itu perlu ada kekuatan mental dan fizikal.

“Kami bekerja dalam persekitaran yang berbeza dengan orang lain iaitu berada dalam suhu yang panas.

“Seseorang yang hendak bekerja dalam bidang ini, perlu ada minat dan ketahanan diri selain bersedia berhadapan dengan risiko tercedera.

“Bagi saya, satu kepuasan apabila setiap rekaan dan corak kristal dihasilkan baik dan berkualiti," katanya.

Seorang lagi rakannya, Mohd. Nawawi Mahadir, 32, berkata, tidak ramai yang boleh menguasai kemahiran meniup dan melebur kristal.

“Kadang-kadang berlaku situasi ukuran dan saiz yang hendak dibentuk tersalah dan menyebabkan saya terpaksa membuat kembali langkah pembentukan dari awal," katanya.

Bengkel Faizy Crystal terletak di Kompleks Kraf Langkawi. Sebarang maklumat lanjut emelkan kepada kamarulfaizy@hotmail.com atau glasscrystal-kamarulfaizy.blogspot.com.

Sumber: utusan.com.my

No comments:

Post a Comment