Tuesday, 23 October 2012

Kerajaan Sabah beri jaminan tidak ambil tanah dipajakkan kepada pemaju (999 tahun)

23 Oktober 2012

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah memberi jaminan tidak akan mengambil tanah yang dipajakkan kepada pemaju dalam tempoh 999 tahun dan pihak komersil lain selama 99 tahun.

Bagaimana pun, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata pihak yang berkaitan boleh memperbaharui tempoh pajakan dalam masa 10 hingga 20 tahun sebelum tamat tempoh.
"Walau pun tempoh tamat pajakan itu tinggal 20 atau 10 tahun, kerajaan masih boleh meluluskan pembaharuan tempoh itu kerana tanah itu dimiliki rakyat dan bukannya kerajaan," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Gabungan Persatuan Cina Sabah di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Sambil menolak tanggapan negatif sesetengah pihak yang mempertikaikan isu itu, Musa, yang juga Menteri Kewangan Negeri, berkata pihaknya akan membincangkan dasar itu pada mesyuarat kabinet negeri.

Sebelum ini, Persatuan Pemaju-pemaju Perumahan dan Hartanah Sabah (Shareda) meminta kerajaan negeri supaya mengembalikan tempoh pajakan 999 tahun berbanding 99 tahun khususnya yang berkaitan hak milik tanah yang dibelah bahagi kepada pemilik dan pembeli rumah.

Shareda berpendapat, dengan tempoh pajakan 999 tahun, pemilik rumah tidak perlu bimbang generasi pengganti mereka "mungkin suatu hari nanti akan kehilangan rumah sekiranya mereka tidak mempunyai wang untuk membayar pelanjutan premium bagi rumah masing-masing."

Sementara itu, berhubung kedudukan harga tanah yang tinggi di Sabah, Musa berkata ia adalah bergantung kepada kuasa pasaran dan bukan bidang kuasa beliau untuk mengawal pasaran harga.

"Saya gembira kerana ramai pelabur datang ke Sabah membeli hartanah di sini tetapi pada masa yang sama saya juga bimbang akan harganya yang semakin mahal dari masa ke semasa," katanya.

Yang turut hadir ialah Pemangku Presiden Gabungan Persatuan Cina Sabah, Datuk T C Goh dan Presiden Shareda Datuk Susan Wong Siew Guen. - Bernama

No comments:

Post a Comment