Saturday 13 April 2013

Isa Samad: Felda bina litar perlumbaan RM1.9 juta di Jengka

Isa Samad

MARAN - Langkah Felda meluluskan pembinaan litar perlumbaan dengan kos RM1.9 juta di Bandar Tun Abdul Razak, Jengka di sini, antara lain bertujuan menjana ekonomi penduduk setempat di samping menjadi platform mencungkil bakat baharu dalam sukan permotoran negara.

Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad berkata pembinaan litar itu juga bertujuan melahirkan generasi kedua Felda yang lebih sihat dan berdaya maju.

"Kemudahan ini disediakan kepada warga peneroka dan generasi muda bagi memberi nilai tambah kepada mereka dalam usaha menjadikan masyarakat Felda sebagai contoh.

"Pihak pengurusan Felda sentiasa mengambil berat keperluan generasi muda dan menyedari bahawa golongan belia ini memerlukan satu tempat untuk memudahkan mereka berkumpul bagi melakukan aktiviti sukan dan riadah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah projek Litar 'Sprint Test' Bandar Tun Abdul Razak semalam. Turut hadir Pengarah Besar Felda Datuk Faizoull Ahmad dan Pengerusi Majlis Belia Felda negeri, Datuk Wan Amizan Wan Abd Razak.

Isa berkata litar itu yang dibina di lokasi yang jauh dari kawasan kediaman diharapkan dapat membanteras masalah sosial seperti lumba haram dalam kalangan belia Felda. - Bernama

No comments:

Post a Comment