Amin menunjukkan kerosakan yang dilakukan gajah liar di kebunnya |
Amin Sidek,43, berkata, mujur ada penduduk yang menyedari gajah berkenaan seterusnya bertindak menghalau haiwan liar itu daripada terus merosakkan tanaman.
Bagaimanapun, katanya, sebanyak tujuh pokok sawitnya rosak dan dimakan haiwan tersebut.
“Kira-kira jam 5.30 pagi, saya menerima panggilan telefon daripada penduduk kampung yang kebetulan melihat haiwan tersebut masuk ke kebun saya.
“Menurut penduduk, mereka melihat gajah berkenaan melintas jalan raya sebelum menuju ke kebun saya. Gajah tersebut juga susah untuk beredar pada mulanya seolah-olah tidak takut langsung dengan manusia, namun setelah dihalau berulang kali barulah ia pergi.
“Saya juga amat yakin kerugian yang ditanggung pasti akan menjadi lebih besar jika tidak ada penduduk perasan kehadiran haiwan liar tersebut,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, semalam.
Amin turut menzahirkan rasa bimbang sekiranya gajah berkenaan kembali ke kebunnya dan merosakkan tanaman sawit kerana kejadian seumpama itu bukanlah kali pertama berlaku.
Bapa enam cahaya mata itu berkata, kebun seluas hampir 1.2 hektar berkenaan sudah diusahakannya sejak 2010.
“Saya sekeluarga baru sahaja dapat merasa hasilnya sebanyak lapan kali sejak awal tahun lalu. Kita risau jika gajah tersebut kembali dan bertindak merosakkan lebih banyak pokok.
“Tambahan pula, kebun pusaka ini saya usahakan dengan duit modal sendiri bersama isteri dan anak.
“Dua bulan lalu, ada juga seekor gajah ceroboh kebun saya, namun hanya sebatang pokok sahaja yang dirosakkan.
Jika keadaan ini berterusan macam mana kami hendak merasa hasil tanaman setelah bertahun berpenat lelah menanam pokok sawit tersebut,” katanya.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan penduduk dengan kehadiran haiwan liar itu.
Menurutnya, jika sebelum ini gajah tersebut hanya sampai di kawasan bukit, namun kini ia semakin berani menghampiri kawasan penempatan penduduk,” katanya.
Amin memohon agar pihak yang berkenaan dapat menyelesaikan masalah dihadapi itu dengan menangkap haiwan tersebut supaya ia tidak terus berkeliaran.
Masturah Suradi
No comments:
Post a Comment