Bagaimanapun hasil kecekapan anggota dari Unit Gajah dan kakitangan Perhilitan Pahang, dibantu dua gajah denak tempatan, Kala dan Rambai, gajah jantan dianggarkan berusia 20 tahun itu berjaya dikeluarkan ke kawasan kebun sejauh kira-kira 400 meter.
Operasi memindahkan gajah itu mengambil masa kira-kira dua jam sebelum dibawa menggunakan lori khas ke pusat pelindungan gajah di Hulu Terengganu.
Pengarah Perhilitan Pahang, Khairiah Mohd Shariff berkata, pihaknya mengambil masa agak panjang untuk mengeluarkan gajah tersebut disebabkan sifat haiwan itu yang agresif serta sukar untuk dijangka.
Menurutnya, daya tahan haiwan itu terhadap kesan ubat pelali agak kuat menyebabkan pihaknya mengambil masa agak lama untuk mendekati dan membuka rantai pada bahagian kakinya.
“Anggota kita terpaksa mematuhi peraturan dalam tugasan mereka kerana gajah ini bertindak melawan jika didekati,” katanya ketika ditemui dalam operasi itu semalam.
Khairiah berkata, pihaknya juga terpaksa menggunakan jentolak untuk membina laluan sepanjang 400 meter bagi memudahkan usaha mengeluarkan gajah tersebut.
Menurutnya, gajah itu ditangkap 13 Mei lalu hasil aduan penduduk berhubung kemusnahan tanaman mereka akibat serangan kumpulan gajah liar sejak November tahun lalu.
Sementara itu, Ketua Kampung Batu 6, Abdullah Taib, 47, berkata, tindakan Perhilitan menangkap dan memindahkan ‘ketua’ kawanan gajah itu diharap dapat mengurangkan ancaman gajah liar ke atas kebun penduduk.
Menurutnya, ancaman itu tetap akan berlaku kerana masih terdapat antara 11 hingga 12 ekor gajah liar dalam hutan terbabit.
“Semalam pun (kelmarin) kita menerima aduan penduduk mendakwa kebun mereka dirosakkan gajah.
“Kita akan sentiasa memberi kerjasama kepada Jabatan Perhilitan termasuk membuat aduan jika serangan gajah ini berulang,” katanya.
24 Mei 2013
No comments:
Post a Comment