Friday 10 May 2013

Penarik kereta maut terkena tiga das tembakan

ALOR SETAR - Seorang penarik kereta maut akibat terkena tiga das tembakan berhampiran rumahnya di rumah pangsa Taman Setia Jaya di sini malam tadi.

Mayat M. Nagenthiran, 30, ditemui kira-kira 15 meter dari kawasan rumah pangsa itu pada pukul 12.30 tengah malam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Daerah Kota Setar, DSP V. Savaranan yang dihubungi mengesahkan pembunuhan tersebut dan berkata seorang lelaki berusia 30-an yang dipercayai rakan mangsa telah ditahan bagi membantu siasatan.

"Satu tembakan dikesan di bahagian kepada dan dua lagi di bahagian belakang Nagenthiran," katanya.

Savaranan berkata polis masih menyiasat motif pembunuhan itu.

Isteri mangsa G. Parameswary, 29, berkata ketika kejadian dia dan dua anaknya yang berusia tiga dan lima tahun sedang tidur dan tidak menyedari kejadian itu sehingga diberitahu oleh pihak polis.

"Sebaik diberitahu, saya terus keluar dan mendapati mayat suami saya terbaring berlumuran darah di koridor rumah pangsa tersebut," katanya yang baharu berpindah ke situ enam bulan lepas.

Seorang saksi yang enggan dikenali berkata dia ternampak dan terdengar pertengkaran antara beberapa lelaki berhampiran rumah pangsa itu.

"Tiba-tiba satu bunyi letupan kuat seperti tembakan pistol kedengaran.

Bimbangkan keselamatan diri saya, saya duduk dalam rumah dan kemudian menghubungi polis," katanya. 

- Bernama

No comments:

Post a Comment