Showing posts with label Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH). Show all posts
Showing posts with label Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH). Show all posts

Saturday, 11 January 2014

Selepas rugi RM29.14 juta, FGV saman lembaga pengarah anak syarikat

Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) memfailkan saman terhadap 12 bekas Ahli Lembaga anak syarikat yang dibelinya, Pontian United Plantation Bhd (Pontian) atas dakwaan pecah amanah melibatkan kerugian sebanyak RM29.14 juta kepada syarikat tersebut.
Menurut kenyataan FGV ke Bursa Malaysia kelmarin, saman yang difailkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membabitkan 12 defendan iaitu Dr Chen Man Hin, Soo Lim Pang, Khoo Siong Kee, Soh Lim Chang, Soo Chong Veoy, Tan Kim Hai, Dr Wong Shiak Sun, Wong Loi, Khoo Lian Fue @ Khoo Bing Sing, Chew Ah Siong, Dr Christopher Chen Li Hsian dan Dr John Chen Li Tat, seperti dilapokan Utusan Malaysia, hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Mohd Emir Mavani Abdullah, berkata Pontian diambil alih oleh FGV pada 1 Oktober 2013 lalu.
Beliau berkata, pengambilalihan itu akan meningkatkan pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) syarikat sebanyak 80,000 tan metrik setahun, selain kumpulan mendapat manfaat daripada sinergi yang terhasil membabitkan operasi kedua-dua ladang di Sabah.
Sementara itu, menurut sumber, semua bekas ahli lembaga pengarah itu termasuk Man Hin yang juga Penasihat Seumur Hidup DAP didakwa bertindak menyalahgunakan kuasa mereka untuk meluluskan beberapa transaksi demi kepentingan diri pada 3 September tahun lalu.
Bekas ahli lembaga pengarah terbabit mengadakan Mesyuarat Tergempar Lembaga dan mencadangkan pembayaran gratuiti berjumlah RM28.7 juta dan bajet percutian RM432,000 tanpa pengetahuan FGV.
Sumber itu memberitahu, mesyuarat tersebut dibuat hanya sehari selepas pengambilalihan Pontian United Plantation oleh FGV dimuktamad pada 2 September melibatkan kos RM1.2 bilion manakala pembayaran transaksi kepada bekas ahli lembaga pengarah berlaku pada 6 September.
Sehubungan itu, satu laporan polis dibuat pada 3 Januari lalu di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun selain sebatan serta denda.
"Kita kesal dengan apa yang berlaku kerana jelas segala transaksi yang dilakukan oleh mereka adalah penyelewengan ke atas aset Pontian United Plantation, sedangkan selaku pemilik saham majoriti dengan jumlah 50.25%, sebarang keputusan memerlukan kelulusan FGV.
"Tindakan undang-undang adalah jawapan terbaik bagi menyelesaikan isu itu kerana perbuatan mereka secara sedar mengadakan Mesyuarat Tergempar Lembaga dengan tergesa-gesa bagi tujuan pecah amanah tidak boleh dibiarkan," katanya kepada Utusan Malaysia, hari ini. – 10 Januari, 2014.

http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/selepas-rugi-rm29.14-juta-fgv-saman-lembaga-pengarah-anak-syarikat

Tuesday, 22 October 2013

Pengkritik ramal Koperasi Permodalan Felda rugi dengan penjualan gergasi minyak sawit

Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH) sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila mencadangkan penjualan baki 51% saham syarikat pengeluar minyak kelapa sawit terbesar dunia, Felda Holdings Bhd (FHB), dan pengkritik berkata ia akan memudaratkan pemiliknya, Koperasi Permodalan Felda (KPF).



Penganalisis kewangan meramalkan perjanjian RM2.2 bilion itu akan menguntungkan FGVH, tetapi pengkritik berkata KPF yang mewakili 113,000 peneroka akan kehilangan wang tunai dan berhadapan dengan masa depan tidak pasti.

“Mereka mungkin akan dapat sesuatu, tetapi dalam jangkamasa panjang, mereka sebenarnya kehilangan lebih banyak keuntungan,” kata penganalisis ekonomi terkemuka, Tan Sri Dr Kamal Salih kepada The Malaysian Insider, merujuk kepada dividen lumayan 15% hingga 16% diberikan kepada pemegang saham.

Pada ketika ini, FHB merupakan pengeluar minyak sawit mentah terbesar dunia (CPO), dengan 3.3 juta tan dikeluarkan pada 2012. KPF memegang 51% kepentingan dalam syarikat itu manakala baki 49% adalah milik FGV.

“Sebanyak 80% daripada kekuatan KPF datang daripada FHB. Kehilangan 80% kepada projek FGV menyebabkan masa depan KPF tidak menentu,” kata Presiden Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman.

Penganalisa ekonomi, Azrul Azwar Ahmad Tajudin bersetuju dengan kebimbangan Mazlan dan berkata, KPF akan mengalami kerugian lebih besar jika menjual saham mereka sekarang.

“Saya bimbang KPF tidak akan mempunyai apa-apa untuk menjana pendapatan pada masa akan datang,” katanya yang juga pemikir ekonomi untuk Institut Rakyat milik PKR.

Walaupun Pengerusi KPF, Datuk Faizoull Ahmad mengatakan perjanjian RM2.2 bilion itu akan digunakan untuk melabur dalam anak syarikat Felda sedia ada, terdapat keraguan pelaburan itu akan menyamai keuntungan besar yang mereka perolehi kini.

“Terdapat kebimbangan sama ada pelaburan itu akan memberikan pulangan yang baik kepada ahlinya,” kata Azrul.

Selain itu, keputusan FGVH untuk mengawal penuh FHB berbanding membeli sejumlah saham menjadikannya pemegang saham terbesar menimbulkan persoalan mengenai motif di belakang cadangan itu.

Seorang pegawai kerajaan memberitahu The Malaysian Insider pembelian FHB akan menyebabkan FGV tidak diganggu oleh pemegang saham KPF berhubung keputusan pelaburan.

“Semasa mesyuarat awam, FGV tidak perlu berurusan dengan organisasi seperti Anak lagi,” katanya dengan syarat tidak dinamakan.

Anak satu-satunya kumpulan yang menentang perjanjian itu, menyatakan kebimbangan nasib peneroka tidak terjamin jika rancangan FGVH itu berjaya.

“FGVH merupakan syarikat awam yang mana sahamnya turun naik. Ini akan menjejaskan peneroka kerana kehidupan mereka bergantung kepada prestasi FGVH dalam pasaran,” kata Mazlan.

Tetapi pembelian itu juga mungkin tidak memberikan kesan positif kepada FGVH kerana komitmen mengambil alih FHB akan memberikan beban besar kepada syarikat itu.

Ini bukan kali pertama FGVH mencadangkan untuk membeli 51% saham KPF dalam FHB. Pada tahun 2011, FGVH mencadangkan tawaran awam permulaan (IPO) bermaksud peneroka menukarkan kepentingan 51% mereka dengan 61% saham FGVH.

Rancangan itu gagal selepas KPF membuat keputusan untuk menolak tawaran itu.

“Pada 2011, KPF mempunyai pengerusi yang dekat dengan peneroka dan mempunyai pengaruh kuat dalam ahli lembaga pengarah. Sekarang keadaan sudah berubah,” kata Mazlan.

Bekas pengerusi KPF, Datuk Zulkifli Wahab disuruh bercuti pada Disember 2011 selepas pengambilalihan itu gagal. Faizoull mengambil alih jawatan dikosongkan Zulkifli.

Pemerhati bersetuju faktor anak muda dicampur dengan peneroka yang tidak berfikir panjang menyebabkan perjanjian itu tidak dibantah ramai.

“Sudah tentu mereka yang mahu untung cepat mahu menjualnya,” kata Kamal.

Seorang pegawai syarikat memberitahu cadangan itu akan dibentangkan pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) KPF pada 27 Oktober. Pemegang saham, termasuk Mazlan akan mendengar nasihat wakil yang datang ke mesyuarat itu.

“Peneroka biasanya akan mengikut sahaja nasihat diberikan oleh wakil itu. Apa yang kami bimbang ialah wakil dipilih untuk hadir ke mesyuarat itu terdiri daripada penyokong FGV.

“Ini merupakan berita sedih. Umno bercakap soal mempertahankan hak Melayu tetapi pengambil alihan ini adalah pengkhianatan kepada Melayu,” kata Mazlan.

21 Oktober, 2013.