Sunday 27 May 2012

Hadith: Golongan yang menggadai agama untuk kepentingan duniawi

Rasulullah SAW bersabda maksudnya:  
“Akan timbul di akhir zaman orang-orang yang mencari keuntungan dunia dengan menjual agama. Mereka menunjukkan kepada orang lain pakaian yang dibuat daripada kulit kambing (berpura-pura zuhud dari dunia) untuk mendapat simpati orang ramai, dan percakapan mereka lebih manis daripada gula. Padahal hati mereka adalah hati serigala (mempunyai tujuan-tujuan yang jahat). Allah SWT berfirman kepada mereka, “Apakah kamu tertipu dengan kelembutan-Ku?, Ataukah kamu terlampau berani berbohong kepada-Ku?. Demi kebesaran-Ku, Aku bersumpah akan menurunkan suatu fitnah yang akan terjadi di kalangan mereka sendiri, sehingga orang yang alim (cendekiawan) pun akan menjadi bingung (dengan sebab fitnah itu)”.


(Daripada Abu Hurairah r.a – Riwayat Tarmizi).




Huraian:


Golongan yang dimaksudkan di dalam Hadis ini ialah orang orang yang menjadikan agama sebagai alat untuk mendapat habuan dan keuntungan dunia yang mereka kejar. Mereka rela menggadaikan agama untuk mengejar kuasa, nama, pangkat, dan harta dunia. Dan apabila bercanggah kepentingan dunia dengan hukum syarak mereka berani mengubah hukum Allah dan memutarbelitkan kenyataan.Inilah yang disebut menghalalkan cara. 


Mereka juga pandai mengemukakan hujah-hujah yang menarik dan alasan-alasan yang memikat hati, tetapi sebenarnya hujah-hujah dan alasan tersebut hanya semata-mata timbul dari kelicikan mereka memutarbelitkan kenyataan. Mereka menipu orang lain dan juga menipu diri mereka sendiri. Contohnya pada hari ini kita dapat melihat ramai dari kalangan orang orang politik dan ahli ahli perniagaan melakukan perkara ini. Mereka termasuk dalam golongan yang disebut dalam hadis ini iaitu memperalatkan agama untuk “politic gain” dan perniagaan mereka.


Mereka akan dilanda kekusutan pemikiran yang sangat tajam sehingga orang alim yang banyak pengalaman pun akan kehabisan akal dan buah fikiran. Mereka menghadapi masalah-masalah yang meruncing dan akan menemui jalan buntu dalam permasalahan yang dihadapi.


(Sumber: Ustaz Abu Ali Al Banjari An Nadwi dalam Bukunya 40 Hadith tentang Peristiwa Akhir Zaman)

No comments:

Post a Comment