Saturday 6 October 2012

KUALA LUMPUR, Malaysia: TM perkenal dua saluran sukan untuk pelanggan


KUALA LUMPUR - Pelanggan HyppTV, perkhidmatan televisyen berbayar Telekom Malaysia Bhd (TM), kini boleh menikmati liputan sukan secara langsung dengan pengenalan dua saluran sukan baru, iaitu HyppSports HD Channel (Saluran 174) dan FOX Football Channel (Saluran 173).
   

Naib Presiden Eksekutif HyyppTV New Media, Jeremy Kung berkata peminat sukan Malaysia kini boleh menonton liputan terkini di kedua-dua saluran selain mengikuti di saluran sedia ada seperti MUTV, Trace Sports HD dan HyppExtreme HD, yang bakal bersiaran menerusi UniFi, perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi TM.
   
"Kami berbangga mengumumkan buat pertama kali bagi perkhidmatan televisyen berbayar di Malaysia, peminat boleh menikmati empat perlawanan langsung Kejohanan Liga UEFA dan Liga Eropah UEFA menerusi HyppSports HD dan saluran sukan lain, secara serentak," katanya kepada pemberita selepas pelancaran saluran itu di sini hari ini.
   
Hyppsports HD Channel, yang merupakan usaha sama TM dan saluran sukan 24-jam Pan Asian, iaitu All Sports Network (ASN), akan memaparkan pelbagai acara sukan berkualiti Amerika seperti Liga Bola Sepak Nasional (NFL) dan Liga Hoki Nasional  (NHL).
   
Mengulas kerjasama dengan TM, Ketua Pegawai Eksekutif ASN, Thomas Kressner berkata pihaknya gembira bekerja dengan HyppTV kerana ia membolehkan mereka menawarkan saluran penuh kepada penonton Malaysia buat pertama kali.

"Menerusi kerjasama dengan TM, liputan kami kini diperluas kepada 15 pasaran di seluruh rantau Asia, dan kami berharap untuk berkembang bersama HyppTV bagi memenuhi penawaran kandungan yang kian meningkat selain memenuhi selera pelanggan yang mahukan aksi sukan berkualiti," katanya.
   
Sementara itu, FOX Football Channel merupakan saluran tanpa henti yang memaparkan antara liga bola sepak terbaik di dunia seperti LaLiga BBVA Sepanyol, Eredevisie Belanda, Liga Perdana Rusia dan Divisyen Primera Argentina.
   
Selain itu, peminat kelab Liga Perdana Inggeris, Chelsea dan Manchester City, kini boleh menikmati program dari ChelseaTV dan CityTV di saluran tersebut.
   
Naib Presiden Eksekutif, Ketua Jualan (Asia Tenggara) ESPN STAR Sports, Adam Zecha pula berkata pihaknya gembira bekerjasama dengan TM bagi melancarkan saluran bola sepak sepenuhnya yang pertama di HyppTV.
   
"Kami berharap dapat menyiarkan lebih 500 perlawanan bola sepak pada musim 2012-2013 dan menyediakan liputan menyeluruh dengan sokongan menarik program dan berita terkini sekitar permainan bagi membuktikan komitmen kami menyediakan liputan bola sepak paling lengkap kepada peminat di seluruh Malaysia," katanya.
   
Pelanggan HyppTV berpeluang menonton saluran baru itu secara percuma sepanjang bulan ini, dan masing-masing boleh dilanggan secara ala carte pada kadar RM15 sebulan, atau digabungkan pada harga RM25 sebulan bermula bulan depan.

- Bernama

No comments:

Post a Comment